Tuesday, August 23, 2011

seni rakyat yang semakin hilang

Rebana Ubi : ‘Orkestra’ Rakyat yang Harmoni dan Seimbang

Oleh : Azmi Abdullah(ABah)

Rebana ubi adalah satu permainan yang akrab dengan masyarakat pantai timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Walaupun corak dan bentuk fizikalnya sedikit berbeda antara dua negeri tersebut, namun objektif bunyian adalah sama, iaitu untuk menghiburkan penonton dan mengajak masyarakat setempat bersama merasai getar paluan melalui alunan yang memancarkan cerminan budaya yang tersirat makna dan falsafah. Kalau dahulu permainan rebana ubi ini sering dipertandingkan, namun kini ia lebih kepada pertunjukan sisipan.



Pada zaman kegemilangannya, rebana ubi adalah manifestasi kesepaduan masyarakat di samping sebagai wahana santapan telinga yang meletakkan keharmonian dan keseimbangan bunyi sebagai teras. Rebana ubi dimainkan sebaik selesai menuai padi mahupun perasmian sesuatu istiadat, penobatan dan juga sebagai penyeri majlis perkahwinan. Rebana ubi menjadi satu permainan yang gah kerana ia melibatkan bilangan pemain yang ramai di samping ketara dari segi saiznya yang besar dan turut diiring oleh beberapa peralatan lain seperti gedombak, geduk, kompang, serta marwas.



Di negeri Kelantan, permainan rebana ubi masih popular, cuma penggiatnya sahaja dikatakan semakin berkurangan. Daripada rekod yang tercatat di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, pernah sedikit masa dahulu terdapat hampir 50 kumpulan rebana ubi di seluruh negeri Kelantan, namun kini kumpulan yang masih aktif tidak sampai 20 kumpulan. Kebanyakan kumpulan yang masih bergerak terdapat di sekitar jajahan Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Machang.



Pemergian ke rahmatullah seorang demi seorang pencinta dan juga pembuat rebana ubi misalnya Allahyarham Hashim bin Labok atau lebih mesra dipanggil Pok Teh dari Kampung Padang Mokang dekat Kota Bharu, seolah-olah menyebabkan seni warisan ini semakin luntur keperkasaannya. Namun, usaha melestarikan seni ini diteruskan oleh anaknya iaitu Abdul Aziz bin Hashim. Beliau begitu prihatin dan bersemangat untuk memastikan seni warisan ini agar dapat terus dipertahan untuk generasi akan datang.



Apakah itu Rebana Ubi?



Rebana ubi dipercayai telah mula dimainkan sejak dua abad yang lalu dan ia merupakan satu-satunya gendang atau rebana paling besar yang dimainkan di Negeri Kelantan. Secara umumnya rebana ubi hanya dimainkan dimajlis-majlis tertentu misalnya untuk menyambut pembesar atau orang kenamaan yang menghadiri sesuatu majlis, manakala rentak paluan yang dimainkan seperti Lagu Sri Rama Berjalan, Lagu Menyambut dan Lagu Kuda Melompat. Sementara lagu yang popular bagi majlis perkahwinan seperti Lagu Berinai, Lagu Kukur Nyior dan Lagu Mengulik akan dimainkan secara berurutan yang terdiri dari enam buah rebana dengan dua orang tukang palu setiap sebuah rebana ubi.



Ukuran rebana ubi pula berbeza di antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Tetapi secara purata tingginya ialah 1 meter (100cm), manakala ukuran diameter permukaan sekitar 70cm. Di bahagian bawahnya terdapat 17 batang baji bagi rebana ubi yang kecil manakala bagi rebana ubi yang bersaiz besar pula terdapat 22 atau 23 batang baji. Baji ini digunakan untuk menegang atau mengendurkan belulang. Semakin pendek baji tersebut maka semakin nyaringlah bunyinya. Sementara itu panjang baji biasanya berukuran antara 45cm hingga 60cm.



Kecantikan rebana ubi juga terletak pada corak dan hiasan pada badan dan permukaan belulang sesebuah rebana. Motif flora yang menjadi coraknya seperti bunga mawar, bunga raya, bunga matahari, bunga teratai, bunga ketam guri dan kekacang. Terdapat juga hiasan keliling dimasukkan elemen sulur pokok kekacang agar menjadi lebih segar dan harmoni. Sulur pokok kekacang pula dikatakan sarat dengan makna dan falsafah iaitu “bermula dan berpucuk”. Konsep “bermula dan berpucuk” ini merujuk kepada asal-usul kejadian setiap makhluk yang hidup dan ia menjadi teras asas dalam seni reka ukiran Melayu.



Pada umumnya paku tidak digunakan di dalam pembuatan sesebuah Rebana Ubi. Jika ada, hanya pin digunakan di sekeliling permukaan rebana ubi itu untuk tujuan mencantikkan permukaan rebana dan mengemaskan belulang terutama di bahagian permukaan pemidang gendang.



Rotan yang diselitkan di bahagian dalam atau bawah belulang gunanya untuk menegangkan permukaan gendang adalah daripada jenis rotan yang berkualiti tinggi seperti rotan hitam, rotan riya, rotan kerusi, rotan manar, rotan kerai, atau rotan batu. Saiz rotan yang digunakan biasanya berukuran 4cm bagi lilitan dan bersaiz 1cm bagi tujuan tegangan manakala panjangnya pula mencecah 5m. Semakin tegang belulang itu bertambah nyaringlah bunyi yang dihasilkan dan begitulah sebaliknya.



Pada kebiasaannya kulit binatang atau belulang yang digunakan adalah daripada kulit kerbau atau lembu. Proses mengering akan memakan masa sehingga 3 hingga 4 hari bergantung kepada keadaan cuaca. Kulit ini mesti dipastikan kering agar ianya tidak mudah koyak atau berbau busuk serta berkulat. Apabila telah dipastikan ia betul-betul kering, tukang rebana akan melakukan proses mencukur atau membuang bulu pada kulit kerbau tadi dengan menggunakan abu atau pisau cukur khas.



Pemukul atau “alu” sangat berguna untuk memukul rebana bagi melahirkan bunyi. Kebiasaannya ia diperbuat daripada kayu tetapi di bahagian kepalanya diperbuat daripada getah, tali tangsi atau tali nylon. Pemalu ini tidak boleh terlalu besar atau terlalu kecil kerana ia tidak akan mengeluarkan bunyi yang melansing jauh. Kadang-kala pemukul atau alu ini juga digunakan untuk memukul baji agar belulang menjadi tegang mengikut tona atau nada yang dikehendaki.



Rebana ubi tidak lengkap jika tiada pemahatan bingkai atau melarik. Tujuannya agar menimbulkan rasa estetika secara visual disamping mempamerkan kemegahan kepada pihak lawan tentang kecantikan dan kesempurnaan pembuatan. Secara psikologi apabila sebuah rebana itu kelihatan hebat dan cantik, diharapkan agar timbul perasaan gerun atau cemburu dipihak lawan untuk berlawan secara berterusan. Di samping itu, ia dapat menarik minat pengunjung dan akan menyanjung tinggi nilai estetika kesenian seterusnya mampu memartabatkan rebana ubi di pentas budaya.



Nun jauh di daerah budaya masih lagi terdengar sayup-sayup lagu yang masih boleh dibezakan temponya seperti Lagu Tagar Barat, Lagu Berinai, Lagu Hulubalang, Lagu Menyambut, Lagu Mengulit, Lagu Keceh Tepi, Lagu Kukur Nyior, Lagu Kuda Melompat, Lagu Pak Dogol dan banyak lagi. Namun apakah nasib permainan rebana ubi ini akan terbela? Pupuskah warisan agung ini suatu hari nanti? Tangisan seni biasanya akan sepi digumam zaman.



Di manakah ‘komitmen’ pihak yang dipertanggungjawabkan untuk tampil mengangkat “gah” permainan rebana ubi di mata budaya? Seni itu sesuatu yang indah. Keindahan visual dan audio pada rebana ubi bukan hanya boleh dinikmati menerusi mata malah hati. Namun, mampukah generasi masa kini mengerti? Apakah seni muzik dan corak visual rebana ubi difahami dalam ungkapan yang sepatutnya?



Adakah wajar jika diadakan satu sukatan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi? Bolehkah ia maju setanding dengan alat muzik antarabangsa atau perlukah dikontemporarikan muziknya? Di manakah manuskripnya atau siapakah yang akan menulis notasinya. Adalah diharapkan agar satu kajian menyeluruh diadakan untuk mengkaji susur-galur sejarah dan falsafahnya, agar seni warisan ini mendapat pembelaan yang sewajar.



Jangan biarkan seni rebana ubi menjadi melukut di tepi gantang. Sementara pengiatnya malu-malu untuk mengaku bahawa merekalah pendokongnya. Atau anak-anak pula malu untuk mengaku bapa mereka adalah pengiat seni rebana. Jika demikian, tidak keterlaluan jika dikatakan seni ini akan menerima nasib seperti menora, main puteri, mak yong dan wayang kulit yang terus terpinggir sehingga kini walaupun wadahnya telah dikontemporarikan sehingga hilang seni dan auranya yang sebenarnya.



Jika seni warisan zaman ini tiada penjagaan dan tidak diselamatkan, dikhuatiri ia akan pupus bersama masa dan tinggallah khazanah itu di muzium sebagai kenangan generasi akan datang yang bakal ditertawakan. Permainan nenek moyang ini merengek di pinggir bibir, bahawa inilah gendang yang dipukul untuk mengeluarkan bunyi. Maka dicananglah intonasi yang sumbang, yang kurang berinformasi sekali gus menyebabkan alat muzik ini tidak berseni. Seperti anak-anak kita di bandar yang mengenali nasi itu berasal daripada beras sedangkan ‘pokok beras’ itu sudah tidak dikenali lagi.



Inilah persoalan yang memberati antara tuntutan budaya dan keperluan sezaman. Barangkali kerana saiznya yang besar, berat, dan rumit menyusahkan itulah antara penyebab penggiat generasi masa kini kian tumpul untuk terus melestarikan seni ini. Bunyinya yang mencecah sehingga beberapa kilometer serta membingitkan telinga, agak membosankan tetapi apa bezanya dengan muzik barat pada hari ini yang entah bagaimana struktur notasinya. Adakah ia juga mementingkan keseimbangan dan keharmonian?

Wednesday, August 17, 2011

terima kasih kepada penggunjung blog ku

dibulan ramadhan amat banyak dugaan sehingga.boleh menduga kemarahan dan nafsu amarah.jangan jadi kan alasan kelaparan untuk memenuhi kehendak hati.jika benar maka kamu sengaja meletakkan diri di tepi kesengsaaran yang zahir mahupun batin .