Saturday, July 30, 2011

cerpen basikal

CERPEN :
“BASIKAL”
_____________________________________________________________________
oleh : Azmi Abdullah @ ABah

JAM menunjukan 5.30 petang. Angin bertiup tenang. Afiq entah berapa kali mundar-mandir menunggu bapanya pulang. Pulang membawa hadiah yang dijanjikan. Hadiah yang pasti membahagiakan jiwanya. Mulutnya terkumat-kamit entah apa diungkapkan, terlongong jika siapa melihatnya. Abangnya Amar tetap tenang menunggu kerana tahu bapanya telah berjanji. Jika Amar mendapat nombor satu, bapa akan belikan basikal baru “LeRun”. Basikal yang sesuai dengan usianya 12 tahun. Pasti basikal itu bakal menguatkan semangat untuk menghadapi UPSR tidak lama lagi.
Afiq sejak dari tadi seakan asyik membaca mentera di atas tangga, tidak henti-henti berkumat-kumit. Tiba-tiba bunyi deruman enjin lori buruk Pak Karim mengaum bagaikan harimau sakit. Afiq yang tidak sabar melompat–lompat kegirangan kerana yakin bapanya pulang membawa basikal BMX yang dijanjikan dengan riak senyum menguntum. Afiq, 8 tahun memang keletah. Dia akan kayuh tanpa henti basikal BMX keliling laman.
Pak Karim melabuhkan penat di tanggga sambil melihat keseronokkan anak keduanya menunggang basikal membuat pusingan di laman rumah. Ayam dan itik cuba dilanggarnya. Kak Jah ibunya di dapur sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa. Sesekali memekik kerana kedengaran pasu pecah di luar rumah kerana dilanggar anak kesayangannya.
Di sekolah Afiq menceritakan kehebatan basikal baru kepada kawan–kawannya. Kehebatan basikal BMX dan basikal abangnya. Kawan–kawan ada yang jelik, ada yang suka dan ada yang mengajaknya berlumba. Tapi Afiq bukan jenis yang suka dicabar . Dipendam semua ajakan kawan–kawannya, kerana basikal kesayangannya bukan untuk berlumba apatah lagi terkena lumpur.
Dalam perjalanan pulang Afiq pura-pura berlumba dengan abangnya Amar. Sesekali ditunduk-tunduk kepala kononnya untuk menambah kelajuan basikalnya. Semasa itulah Afiq perasan basikal abangnya ada “sesuatu” iaitu pelaras kelajuan. Afiq melopong, melongong sambil berfikir mengapa basikalnya tiada benda itu. Lalu Afiq mengangkat tangan mengarahkan abangnya berhenti. Amar terpinga sambil berkerut dahi basikalnya ditahan Afiq.
“Abang, basikal abang ada apa tu?”
“Ni!, ini orang panggil “gear”, ini nak tambah kelajuan pada basikal abang, nak bagi senang kayuh, nak lagi laju, nak bagi basikal abang sentiasa di depan dari basikal adik.” kata Amar tanpa meragui kata-katanya menguris perasaan Afiq.
Afiq diam tidak terkata..kekecewaan mula bersarang di kepala. Afiq memendam perasaan. Mengapa ayah beli basikal tidak sama, tidak adil. Pilih kasih. Kekecewaan ini diluahkan pada ibunya.
“Mak, esok Afiq tak mau pergi sekolah, Afiq demam.’’
“Eh… eh, bila masa pulak anak mak jadi doktor ni? Setahu mak, anak kesayangan mak ni elok saja. Apa hal ni? Kan basikal baru dah dapat!”

“Mak kenapa ayah beli basikal Afiq, tiada gear, basikal abang ada gear. Afiq rasa ayah tak adil, tak sayang Afiq”, rungutnya antara dengar dengan tidak sambil kaki menguis pada lantai. Tanpa disedarinya air mata berjurai menitis ke lantai.
“Basikal Afiq kan cantik, mak tak nampak pun kecacatan, kalau setakat gear apalah sangat. Tak apa, nanti ayah balik mak cakap pada ayah. Manalah tahu tahun depan ayah beli basikal yang ada gear pula”.
“Tak nak. Afiq nak basikal yang ada gear macam abang.”
Kak Jah malas melayan kerenah anak keduanya. Tanpa memujuk yang sepatutnya Kak Jah terus berlalu ke dapur untuk mula menyiapkan juadah berbuka. Selepas Asar seperti biasa Pak Karim bersiap-siap untuk memanjat kelapa. Ini kerana sudah berbelas tahun, pokok kelapa keliling rumahnya menjadi punca rezekinya sekeluarga.
Air nira Pak Karim siapa yang tak kenal. Seluruh Kampung Beris Lalang malahan sampai ke pekan Jelawat, orang asyik bercakap manis dan menyelerakan dek panahan kayu laru yang dimasukkan ke dalam tabung untuk menadah air kelapa. Duit jualan nira inilah Pak Karim beli basikal untuk Afiq dan Amar.
Sesekali Pak Karim mendongak ke atas untuk melihat pokok kelapanya yang semakin tinggi. Terdetik di hatinya untuk berhenti dari menyadat mayang kelapa. Tapi sesekali fikir kerja apa lagi yang boleh dibuatnya, memandangkan urat sudah menjengah lengan.
Hari ini panas sungguh. Matahari tegak di kepala. Afiq yang kecewa berjalan sambil menuntun basikal BMX melalui anak sungai di hadapan rumahnya. Afiq berhenti di bawah pokok tembusu yang merendang di tepi tali air, sambil berfikir. Fikir yang entah apa-apa, tiba-tiba …
Afiq pulang dengan berlari sambil memekik melolong. Riuh rendah di laman rumah Pak Karim. Kak Jah cam suara Afiq. Suara anak kedua merangkap anak bongsu. Pak Karim yang baru nak melelapkan mata di anjung melompat mendapatkan Afiq yang bagai diserang histeria, sambil menangis, kaki dihentak-hentak, beg sekolah dihempas ke bumi. Ayam dan itik seolah-olah mengerti dan tertanya-tanya sambil mengerling. Pak Karim segera mendapatkan Afiq.
“Apa hal ni Afiq” dengan suara yang termengah-mengah akibat terjun dari anjung.
“Basikal ayah, basikal Afiq kena curi, semasa di sekolah tadi:”
“Mana abang kamu”?
“Dia belum balik lagi ada Fardu Ain”
“Sapa curi? Haram jadah. Setan. Ini yang aku nak mengamuk ni. Celaka punya budak.” Sambil menyumpah seranah, otak Pak Karim melilau mencari sasaran anak tetangganya yang tidak sehaluan untuk melepaskan perasaan marah .
“Ni, mesti kerja anak Leman ni, memang. Memang anak si bedebah tu. Dia keturunan yang memang tak boleh lihat orang senang sikit, nak menyusahkan orang saja! nanti kau nantiiiiiii”.Geramnya bukang kepalang.
Sementara Afiq menikus untuk menyatakan hasratnya pada Pak Karim agar membelikannya basikal baru, basikal sama macam abangnya yang ada gear. Kakinya menguis-nguis pasir di laman sambil menangis tersedu-sedan. Kak Jah mendapatkan anaknya. Memeluk dengan penuh kasih sayang, dicium pipi kiri dan kanan berkali-kali.

“Fiq jangan menangis, nanti mak suruh ayah belikan basikal baru. Mari masuk, mandi.”
Di laman, Pak Karim masih mundar-mandir dengan sumpah-seranah tidak kira bulan puasa, bulan ibadat, janji hatinya puas. Hutang mesti dilunas. Sudah lama Pak Karim dendam dengan Leman. Pernah suatu hari Pak Karim menghunus golok di pinggang untuk melibas Leman ketika berjumpa di pekan Jelawat. Leman pernah ada hati pada Kak Jah zaman muda-muda dulu. Ketika itu Leman mengajak Kak Jah bertemu di Pantai Irama. Selepas Karim kahwini Kak Jah, dia terus menyimpan cemburunya.
“Nanti kau. Aku akan bomohkan kau. Keturunan kau, anak engkau. Biar panas, biar sentiasa mengelumpur bagai cacing kepanasan.”
Seminggu Pak Karim buat sembahyang hajat, minta Allah bagi balasan pada orang yang mencuri basikal Afiq. Tak cukup dengan itu Pak Karim pergi jumpa Bomoh Usop.
“Basikal anak saya kena curi. Saya nak tok buat supaya si pencuri basikal anak saya kepanasan macam cacing kena panas. Saya nak tengok anak siapa yang mengelupur kepanasan. Biar dia rasa macam mana peritnya saya kumpul duit. Saya menyadat nira berbelas tahun untuk kumpul duit.”
“Sabar Karim, kau tuduh sapa ni, anak sapa. Kau ada bukti ke?”
“Tak payah bukti-bukti. Saya memang tahu anak siapa punya angkara. Dia memang keturunan jahat. Dalam kampung ni keluarga dia saja pencuri”.
“Asstaghfirullahhalazimm… mengucap Karim. Tak palah, aku akan cuba ikhtiar. Biar dia hantar balik barang yang dicurinya tu.”
Di rumah Kak Jah merasa resah. Dia merungut-rungut. Matanya melilau mencari sosok tubuh suaminya yang hilang sejak pagi tadi. Afiq terlentang di ruang tamu katanya macam nak demam.

“Eh, badan Afiq panas ni. Afiq demam ni!”
Sehari Pak Karim pergi entah ke mana, dan senja baru balik. Kak Jah terus memberitahunya bahawa Afiq demam.
“Abang, cuba abang tengok Afiq tu, Badannya panas. Kita bawa dia ke klinik, bang?”
“Alah demam biasa je tu. Nanti besok kebah la tu, Budak-budak memang macam tu. Kalau siang hari main panas je kerja dia. Ha… bila malam panaslah seluruh badan.” Pak Karim menjawab selamba sambil mengulung rokok daun nipah dengan tembakau darat.
“Mak..ooo … mak, mintak air mak. Afiq dahaga.”
“Kenapa dengan Afiq ni? Dah masuk lima kali Afiq minum air ni”.
“Alah bagi je air tu, budak tu nak minum, apa salahnya. Bagi je.”
Keesokannya Afiq mula berperangai pelik, Sekejap-sekejap minta air. Jam di dinding baru menunjukkan pukul 10 pagi. Sudah berbelas kali Afiq meminta air.
“Mak, kalau ayah tak jadi beli basikal LeRun macam abang pun tak apalah, mak. Nanti Afiq besar, Afiq akan beli sendiri. Afiq nak kumpul duit sendiri, Afiq nak simpan duit mulai sekarang.”
“Tak apa, nanti Afiq sembuh, mak suruh ayah belikan basikal baru macam abang.”
Afiq diam seribu bahasa.
Nanti, bila Afiq sembuh, Afiq ambil je basikal abang tu… abang tak kisah”. Tiba-tiba Amar mencelah sambil lewa, sekadar mengambil hati adik kesayangannya itu. Afiq diam. Pak Leman termenung. Kak Jah menyibukkan diri di dapur.
Tiba-tiba. Afiq meraung. “Panas ...! Panas! Makkk … Afiq panas…!!”
Afiq mengelupur, meniarap, terlentang, berpusing-pusing, serba tak kena.
Semua kelam kabut. Afiq berdiri, duduk. Melentang, tertonggeng, berguling-guling, macam dirasuk. Kak Jah panik .Dia hanya mampu menangis.
“Ya Allah…!! Afiq..kenapa nii??”
Tiba-tiba Afiq berlari keluar dari rumah. Berlari bagai mencari sesuatu yang sangat diperlukan. Matanya melilau. Kemudian Afiq berlari ke arah sungai. Larian sangat pantas. Pak Karim tidaksempat menahan, dia hanya mengekori dari belakang.
“Panas mak… panas, ayah.”
Afiq terus terjun ke dalam sungai sebelum sempat Amar memegang tangan adiknya. Pak Karim memanggil anak bongsunya dengan suara antara dengar dan tidak. Di saat itulah Pak Karim terpandang handle basikal Afiq di dalam sungai, kebetulan air sungai cetek.
Ketika itulah Pak Karim teringat sudah berminggu-minggu dia sembahyang hajat meminta Allah beri kepanasan kepada sesiapa yang mencuri basikal anaknya. Dia juga meminta tolong Bomoh Pak Usop jampikan supaya kepanasan sesiapa yang mencuri basikal anaknya.
“Afiq, apa yang dah Afiq buat?”
Afiq tidak menunjukkan reaksi. Badannya menampakkan tanda kebiruan. Amar turut menangis kerana kesal. Dia tidak pernah sekalipun memberi pinjam basikal LeRun yang bergear kepada adiknya. Kak Jah juga sedar bahawa janjinya untuk menyuruh suaminya membelikan basikal bergear kepada Afiq, hanya penyedap mulut sahaja. Hatinya tidak pernah membenarkan kata-katanya sendiri.
Kini barulah Kak Jah tahu bahana janji kosongnya kepada Afiq. Tetapi dia tidak tahu satu perkara iaitu solat hajat yang dilakukan oleh suaminya. Petang itu juga, Pak Karim segera menjemput Bomoh Usop untuk upacara ‘tawari’ Afiq yang kepanasan.

T A M A T

No comments:

Post a Comment

html