Hati
Yang Terbuku
Oleh
: Abah@azmi abdullah
Hujan menitis dari hujung
atap rumbia , seolah-olah memahami hati Pak Akop yang menitis antara persoalan
hendak pergi atau tidak ke rumah Penghulu Seman yang bersebelahan dengan Balai
Raya dekat kampung Bekelam . Pak Akop memulas-mulas rokok daun nipah dengan seribu persoalan, sekali
sekala menghela nafas , dalam kegelisahan itu nampak sangat Pak Akop menjengah
usia. Mak Lijah di dapur menjeling untuk
memastikan angin Pak Akop baik. Mak lijah memahami sangat perangai Pak Akop, sudah
mencecah 30 tahun usia perkahwinan, sudah masak benar dengan angin suaminya itu. Mak Lijah meneruskan
kerja yang tidak seberapa, cuma menyibukkan diri, malas nak layan angin Pak
Akop yang melilau kehulu kehilir sambil menyedut asap rokok daun nipah
sedalam-dalamnya, sesekali melepaskan asap sambil memuncungkan mulut, merungut
entah mentera apa yang diucapkan . Mak Lijah sekali-sekala mendongak sambil mengeleng
kepala dan tersenyum anak melihat keletah Pak Akop .
“kenapa bang ,cubalah berhenti sekejap
melilau tu, pening kepala saya”.
Lembut suara Lijah menyapa. Pak Akop
berhenti seketika, sambil merenung jauh keluar
rumah
“entahlah…esok hari raya korban datang
lagi macam biasa, Tok Penghulu Seman mesti mengajak aku melapah daging, malu
aku nak pergi…malu pada diri ..nak qurban kita miskin, kalau pergi.. hah
peristiwa sama berulang lagi, hati siapa yang hampa, aku jugak. ada orang bertanya ,tiada jugak.”. rengus Pak
Akop. Pak Akop cuba mengimbau kembali peristiwa dua tahun lepas, dimana beliau
teramat letih menyelesaikan tugas sebagai pelapah daging lembu sampai empat
ekor, tiada seorang pun yang perihatin padanya, hasilnya penat lelah tidak
berbaloi semua berlalu begitu saja. Pak Akop merungut walau tahu dosa pahala,
cuma anginnya kurang baik, tapi jika kena dengan cara walau macamana letih
sekalipun beliau sanggup lakukan demi minat..
“sabarlah bang dah bukan rezeki kita nak
buat macamana..”
Lijah berlalu ke dapur malas nak melayan
angin Pak Akop, sesekali menjeling pada Pak Akop yang berwajah suram sambil
menghembus asap rokok semahunya.
Lebih kurang pukul 4.05 ,Penghulu Seman
datang ke rumah Pak Akop dengan tergesa gesa, nampak sangat nak cepat, sebab
waktu asar dah nak masuk , Penghulu Seman mahu ke Masjid.
“
ahh..Akop jangan lupa esok tu, tolong orang kampung melapah daging korban dekat
Masjid kita tu, datang awal sikit ,mau dua tiga ekor lembu tumbang esok tu, hah.. orang melapah pun tak ramai tahun ni
,anak muda ramai yang tak balik kampung,, aku berharap sangat pada kau tu” .Teriak Penghulu Seman pada Pak Akop.
“yalahh…tengok lah dulu macamana”, agak
tinggi nada Pak Akop sekadar acuh tak acuh saja.
Pak Akop menjeling berpura pura dengar atau tidak sambil tunduk memandang ke tanah, sesekali
mendongak melihat matahari. Waktu asar hampir menjengah tiba , yang pasti pemikiran
Pak Akop ligat memikirkan bagaimana nak bagi alasan esok pagi. Sesekali
mendengus bagai lembu jantan yang tumbang ….umphh…sambil mengganguk kepala ala
kadar tanda setuju.. Penghulu Seman
cepat-cepat berlalu meninggalkan Pak Akop yang sedang melayan perasaan menuju
ke masjid sebab nak menemankan Bilal Jusoh azan Asar.
Pagi
Hari Raya
Semasa Tok Imam Hj Mat Ail membaca
Khutbah, Pak Akop mendengar dengan teliti , kekadang mengimbas kembali kenangan
lama betapa seronoknya berhariraya dengan kekawan sebaya sambil menyaksikan
peristiwa orang kampung mengejar lembu yang terputus tali dan menyembelih lembu
jantan yang besar dan gagah, namun semua itu kenangan 50 tahun yang lalu, namun
sudah ramai kawan-kawan Pak Akop yang pulang ke rahmatullah , Pak Akop mendengar
dengan teliti setiap isi khutbah tentang kelebihan ibadah qurban dan peristiwa-peristiawa
penting tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dihayati dan di
insafi, begitulah setiap tahun , cuma terbayang kisah sedih yang sentiasa
terbuku di hati.
Setelah selesai sembahyang hariraya
aidiladha maka berhimpunlah orang yang berqurban. Lembu melilau seolah-olah tahu
ia akan disembelih.. Pak Akop sangat geram melihat keletah dan kegelisahan lembu membuatkan pak Akop terlupa
segala persoalan yang terbuku di hati, kerana memang Pak Akop Sejak dari muda
lagi tukang lapah lembu, sama ada di majlis perkahwinan atau kenduri kendara.
Penghulu Seman tidak tinggal Pak Akop kerana kepakarannya memang sukar di
tandingi, sesekali ada terlintas kesedihan dihati sambil menelan liur tanda
sedih kerana tidak mampu melakukan ibadah qurban kerana kemiskinan.. bukan
merungut tentang takdir ,tapi jika mampu mau diambil satu bahagian untuk anak-anak
menikmati sedikit daging korban…
Lembu tumbang seekor demi seekor, maka
bermulalah kerja Pak Akop melapah..melapah bersama hati kecil yang terbuku. Ada
beberapa orang pemuda kampung yang jauh lebih muda Jijo,Rain ,Adib serta
beberapa orang yang Pak Akop dah lupa nama dan anak siapa, bergelak ketawa setelah melihat tumbangnya
lembu. Kelibat Wak Him serta Pak Da Ot yang agak berusia dari Pak Akop pun ada
berbicara entah apa butirannya. Pak Akop memandang sekeliling, melihat anak
kecil serta kaum ibu berbicara sesama sendiri sambil jari menunjuk-nujuk pada
lembu yang telah gugur. Ada yang menguis-guis kaki lembu untuk memastikan lembu
dah mati atau belum. Mereka amat gembira memegang kaki lembu dan melapah semahunya..
Pak Akop tak kisah gelojoh pemuda kampung itu sebab tenaga mereka masih banyak
dan kuat. Dihati Pak Akop sesekali
berdoa agar dapat sedikit sedekah dari
tuan punya bahagian lembu. Pak Akop bermonolog sendirian sambil tangan melapah
belulang dan daging lembu, peluh jantan mula menitis ..sama laju dengan degupan
jantung yang terbuku dengan doa kecil…mulut
terkumakamit seolah-olah orang kurang
siuman berdialog.
Setelah semua bahagian daging dibahagi-bahagikan
kepada tujuh bahagian. Sesekali Pak Akop menelan liur , kekadang menjeling pada
daging yang telah siap dibahagi-bahagikan, sambil menyapu darah yang melekat pada pisau lapah yang sudah
sepuluh tahun setia disisi pinggang pada sabut kelapa kering. Sesekali
menjeling pada tuan daging tanpa sepatah kata, sekali sekala senyum tawar
menguntum ..disapu lagi darah lembu pada sabut kelapa berkali-kali agar
pisaunya kering sebelum dimasukkan kembali
kesarung lalu disimpan rapi di sisi pinggang, maka berakhirlah kerja Pak Akop.
Pak Akop tenang sekali berteduh di bawah pokok pauh yang rendang sambil
mengulung rokok daun nipah dengan tembakau kampung, menunggu jika ada rezeki.
Pak Akop bukanlah berharap sangat, cuma jika ada rezeki bulih lah anak bongsunya merasa.
Tuan bahagian daging datang dengan besen,
melilau memilih bahagian masing-masing sambil mulut terkuma-kamit bercakap
entah apa butirannya…bermakna peristiwa lepas akan berulang lagi. Pak Akop
faham tentang hukum , cuma sesekali tertanya
dalam hati tiadakah sedekah untuk orang miskin sepertinya. Pak Akop bukan nak upah..
Cuma berharap sedikit sedekah untuk orang yang miskin bukan untuk orang melapah..
Apa nak buat daging tidak boleh pada orang yang melapah..Pak Akop pasrah..
Pak Akop akur … beginilah saban tahun
demi tahun Pak Akop hanya mampu melihat besen daging pergi menghilang entah
kemana..bukan hak Pak Akop untuk bersuara..bukan daging Pak Akop untuk di bawa
pulang bagi makan anak bini, ..jauh di sudut hati Pak Akop terasa, tiadakah
sedekah untuk aku, bukan untuk aku makan untuk Rina anak bongsu ku yang belum
mengerti apa-apa. Pak Akop pasrah…semuanya berlalu, ada kedengaran dihujung
telinga sayup-sayup kedengaran suara jauh mengucapkan terima kasih tanpa jatuh
walau sebesar ibu jari kaki daging korban..
Pak Akop pulang dengan wajah sugul
..hampa . Lijah di dapur sangat memahami perangai Pak Akop, memandang wajahpun
Lijah tahu suaminya kecewa macam tahun-tahun lepas, lalu menyapa Pak Akop dengan
suara yang perlahan seolah mengerti keluh resah Pak Akop.
“macam biasa ke bang? ”,
Lijah menunggu jawapan dari Pak Akop,
dengan senyuman yang manis walaupun sedikit hampa. Senyuman Mak Lijah masih
menawan walaupun usia sudah menjengah 56 tahun ..Pak Akop agak keberatan
menjawap, Lijah berlalu ke dapur dengan reda. Makin lama di tunggu makin
gelisah Pak Akop. Lijah tidak mahu menambah luka dan dibiarkan Pak Akop melayan
perasaanya sendiri. Pak Akop diam sambil mulut mucung kedepan, sesekali menghirup kopi yang dihidangkan oleh
Lijah bersama dengan biskut tawar kecil. Sekali-sekala biskutnya patah dan
masuk ke dalam cawan lalu Pak Akop meminta sudu kopi untuk mengambil biskut
lembik di dalam cawan.
Di dapur Lijah ligat memikirkan masakan
apa untuk dihidangkan pada Pak Akop.
“Tak apa lah bang bukan rezeki kita,
nanti Jah goreng ikan kering Pelata..kesukaan abang dengan sayur lemak, pucuk
lemak manis kesukaaan abang…sesekali Pak Akop tersenyum tawar…hanya Lijah yang
setia yang memahami isi hati Pak Akop…
Di laman rina anak bongsu kesayangan Pak
Akop menyedari bapanya pulang lalu
menyapa Pak Akop dengan hati yang girang, tak mengerti hati Pak Akop yang bersedih.
“Ayah balik.. yea ..yea, ayah balik, bila
ayah balik?, hari ini dapatlah kita makan daging kan ayah ..hari ni hari raya qurban
kan…tentu ayah dapat daging…”
Tercekik liur Pak Akop mendengar kata-kata
Rina , gadis kecil yang tidak memahami apa-apa. Tiada daging yang dibawa pulang
untuk rina ,untuk Aiman anak bongsu
lelaki. Sayu Pak Akop mendengar kata-kata Rina. Kepala Pak Akop ligat
memikirkan alasan apa yang perlu di beri..namun di biarkan Rina dan Aiman
bermain di laman..
Ya Allah.. apakah dugaan ini ..malu aku
pada diri Ya Allah , apa yang perlu aku beritahu pada rina
..tiada daging , tiada sedekah aku faham hukum tapi anak ….
Di dapur Lijah mengoreng ikan kering pelata dengan sayur pucuk manis
campur ubi keledek ..jauh baunya . Bau yang biasa Pak Akop hidu..menunggu dapur
kayu yang perlahan menyala..perut terasa lapar dengan hati yang hampa .
Sesekali Pak Akop mendongak kelangit, cahaya matahari sudah condong ke barat. Pak
Akop mengajak Rina dan Aiman makan bersama sebab jarum jam sudah menunjuk pukul 2.30 petang…
“Mana daging goreng ayah ? ,kan ayah pergi
sembelih lembu..”
Di usap-usap kepala anak kesayanganya..
tanpa sepatah kata Pak Akop memaling muka kebelakang rina ..bersama linangan
air mata berkaca dikelopak mata…sesekali
bersuara antara dengar atau tidak .Ya Allah ..aku tak mampu ya Allah. Kesihan
budak ini yang tak mengerti apa-apa ya Allah..mau di tinggalkan hidangan ikan
pelata bersama sayur pucuk manis. Mak Lijah mengerti apa yang Pak Akop
sembunyikan , lalu memalingkan muka kedapur..sesekali menitis air mata
lijah..tapi
Assalamualaikum …..Pak Akop..Pak Akop “..nah
ayah bagi daging korban sikit ni”…ucap Seli dari kampung sebelah, membuatkan Pak
Akop tersentak, lamunan terhenti lalu di kesat air mata yang hampir menitis
dengan tersenyum tawar…tapi riang dihati bukan kepalang…Pak Akop mengucap terima kasih
entah berapa kali, Seli berlalu dengan sedikit persoalan ,namun tidak
diendahkan perasaan Pak Akop. Pak Akop menghantar Seli pulang sehingga hujung
mata dengan seribu pertanyaan. Ya Allah aku bersyukur pada mu ya Allah atas nikmat ini. Seli menghilang tanpa mengerti hati Pak Akop yang menangis
tanda syukur…setelah Seli pulang Lijah cepat-cepat mencapai daging di atas
tangga lalu di goreng untuk Rina dan Aiman..Pak Akop memejam mata menghidu bau daging
korban yang di goreng Lijah dengan minyak masak kelapa yang di tanak sendiri
oleh Lijah..ya Allah besar sungguh nikmat dan kuasa mu Ya Allah ,terima kasih
atas nikmat ini…terima kasih ya Allah kerana memahami. Rina dan Aiman makan
dengan penuh nikmat sambil bergurau senda dan hilai ketawa , tak dihirau
ayahnya yang sedang bersedih, biarlah Rina dan Aiman menikmati daging qurban, biarlah
dia habiskan semuanya, Pak Akop reda kerana itu takdirnya. Pak Akop tertanya-tanya
dalam hati , daging korban dari orang kampung sebelah, dimanakah daging sedekah
Penghulu Seman dan orang-orang yang melakukan ibadah qurban, saban hari berganti
tahun sedekah daging qurban dari Penghulu Seman tidak pernah kesampaian kerana
Pak Akop tukang lapah daging. Adakah
tahun depan akan berulang lagi , pertanyaan ini sentiasa terbuku di hati Pak Akop. Pak Akop
pasrah jika ini takdirnya.
-Sekian-