Sunday, September 23, 2018

Cerpen-Hati Yang Terbuku


Hati Yang Terbuku

Oleh : Abah@azmi abdullah

Hujan menitis dari hujung atap rumbia , seolah-olah memahami hati Pak Akop yang menitis antara persoalan hendak pergi atau tidak ke rumah Penghulu Seman yang bersebelahan dengan Balai Raya dekat kampung Bekelam . Pak Akop memulas-mulas  rokok daun nipah dengan seribu persoalan, sekali sekala menghela nafas , dalam kegelisahan itu nampak sangat Pak Akop menjengah usia. Mak Lijah di dapur  menjeling untuk memastikan angin Pak Akop baik. Mak lijah memahami sangat perangai Pak Akop, sudah mencecah 30 tahun usia perkahwinan, sudah masak benar dengan  angin suaminya itu. Mak Lijah meneruskan kerja yang tidak seberapa, cuma menyibukkan diri, malas nak layan angin Pak Akop yang melilau kehulu kehilir sambil menyedut asap rokok daun nipah sedalam-dalamnya, sesekali melepaskan asap sambil memuncungkan mulut, merungut entah mentera apa yang diucapkan . Mak Lijah sekali-sekala mendongak sambil mengeleng kepala dan tersenyum anak melihat keletah Pak Akop .

“kenapa bang ,cubalah berhenti sekejap melilau tu, pening kepala saya”.

Lembut suara Lijah menyapa. Pak Akop berhenti  seketika, sambil merenung jauh keluar rumah

“entahlah…esok hari raya korban datang lagi macam biasa, Tok Penghulu Seman mesti mengajak aku melapah daging, malu aku nak pergi…malu pada diri ..nak qurban kita miskin, kalau pergi.. hah peristiwa sama berulang lagi, hati siapa yang hampa, aku jugak.  ada orang bertanya ,tiada jugak.”. rengus Pak Akop. Pak Akop cuba mengimbau kembali peristiwa dua tahun lepas, dimana beliau teramat letih menyelesaikan tugas sebagai pelapah daging lembu sampai empat ekor, tiada seorang pun yang perihatin padanya, hasilnya penat lelah tidak berbaloi semua berlalu begitu saja. Pak Akop merungut walau tahu dosa pahala, cuma anginnya kurang baik, tapi jika kena dengan cara walau macamana letih sekalipun beliau sanggup lakukan demi minat..

“sabarlah bang dah bukan rezeki kita nak buat macamana..”

Lijah berlalu ke dapur malas nak melayan angin Pak Akop, sesekali menjeling pada Pak Akop yang berwajah suram sambil menghembus asap rokok semahunya.

Lebih kurang pukul 4.05 ,Penghulu Seman datang ke rumah Pak Akop dengan tergesa gesa, nampak sangat nak cepat, sebab waktu asar dah nak masuk , Penghulu Seman mahu ke Masjid.

 “ ahh..Akop jangan lupa esok tu, tolong orang kampung melapah daging korban dekat Masjid kita tu, datang awal sikit ,mau dua tiga ekor lembu tumbang esok  tu, hah.. orang melapah pun tak ramai tahun ni ,anak muda ramai yang tak balik kampung,, aku berharap sangat pada kau tu” .Teriak  Penghulu  Seman pada Pak Akop.

“yalahh…tengok lah dulu macamana”, agak tinggi nada Pak Akop sekadar acuh tak acuh saja.

Pak Akop menjeling berpura pura  dengar atau tidak  sambil tunduk memandang ke tanah, sesekali mendongak melihat matahari. Waktu asar hampir menjengah tiba , yang pasti pemikiran Pak Akop ligat memikirkan bagaimana nak bagi alasan esok pagi. Sesekali mendengus bagai lembu jantan yang tumbang ….umphh…sambil mengganguk kepala ala kadar tanda setuju..  Penghulu Seman cepat-cepat berlalu meninggalkan Pak Akop yang sedang melayan perasaan menuju ke masjid sebab nak menemankan Bilal Jusoh azan Asar.

Pagi Hari Raya

Semasa Tok Imam Hj Mat Ail membaca Khutbah, Pak Akop mendengar dengan teliti , kekadang mengimbas kembali kenangan lama betapa seronoknya berhariraya dengan kekawan sebaya sambil menyaksikan peristiwa orang kampung mengejar lembu yang terputus tali dan menyembelih lembu jantan yang besar dan gagah, namun semua itu kenangan 50 tahun yang lalu, namun sudah ramai kawan-kawan Pak Akop yang pulang ke rahmatullah , Pak Akop mendengar dengan teliti setiap isi khutbah tentang kelebihan ibadah qurban dan peristiwa-peristiawa penting tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dihayati dan di insafi, begitulah setiap tahun , cuma terbayang kisah sedih yang sentiasa terbuku di hati.

 

Setelah selesai sembahyang hariraya aidiladha maka berhimpunlah orang yang berqurban. Lembu melilau seolah-olah tahu ia akan disembelih.. Pak Akop sangat geram melihat keletah dan  kegelisahan lembu membuatkan pak Akop terlupa segala persoalan yang terbuku di hati, kerana memang Pak Akop Sejak dari muda lagi tukang lapah lembu, sama ada di majlis perkahwinan atau kenduri kendara. Penghulu Seman tidak tinggal Pak Akop kerana kepakarannya memang sukar di tandingi, sesekali ada terlintas kesedihan dihati sambil menelan liur tanda sedih kerana tidak mampu melakukan ibadah qurban kerana kemiskinan.. bukan merungut tentang takdir ,tapi jika mampu mau diambil satu bahagian untuk anak-anak menikmati sedikit daging korban…

Lembu tumbang seekor demi seekor, maka bermulalah kerja Pak Akop melapah..melapah bersama hati kecil yang terbuku. Ada beberapa orang pemuda kampung yang jauh lebih muda Jijo,Rain ,Adib serta beberapa orang yang Pak Akop dah lupa nama dan anak siapa,  bergelak ketawa setelah melihat tumbangnya lembu. Kelibat Wak Him serta Pak Da Ot yang agak berusia dari Pak Akop pun ada berbicara entah apa butirannya. Pak Akop memandang sekeliling, melihat anak kecil serta kaum ibu berbicara sesama sendiri sambil jari menunjuk-nujuk pada lembu yang telah gugur. Ada yang menguis-guis kaki lembu untuk memastikan lembu dah mati atau belum. Mereka amat gembira memegang kaki lembu dan melapah semahunya.. Pak Akop tak kisah gelojoh pemuda kampung itu sebab tenaga mereka masih banyak dan kuat.  Dihati Pak Akop sesekali berdoa agar dapat  sedikit sedekah dari tuan punya bahagian lembu. Pak Akop bermonolog sendirian sambil tangan melapah belulang dan daging lembu, peluh jantan mula menitis ..sama laju dengan degupan jantung  yang terbuku dengan doa kecil…mulut terkumakamit seolah-olah  orang kurang siuman berdialog.

 

Setelah semua bahagian daging dibahagi-bahagikan kepada tujuh bahagian. Sesekali Pak Akop menelan liur , kekadang menjeling pada daging yang telah siap dibahagi-bahagikan, sambil menyapu  darah yang melekat pada pisau lapah yang sudah sepuluh tahun setia disisi pinggang pada sabut kelapa kering. Sesekali menjeling pada tuan daging tanpa sepatah kata, sekali sekala senyum tawar menguntum ..disapu lagi darah lembu pada sabut kelapa berkali-kali agar pisaunya kering  sebelum dimasukkan kembali kesarung lalu disimpan rapi di sisi pinggang, maka berakhirlah kerja Pak Akop. Pak Akop tenang sekali berteduh di bawah pokok pauh yang rendang sambil mengulung rokok daun nipah dengan tembakau kampung, menunggu jika ada rezeki. Pak Akop bukanlah berharap sangat, cuma jika ada  rezeki bulih lah anak bongsunya merasa.

Tuan bahagian daging datang dengan besen, melilau memilih bahagian masing-masing sambil mulut terkuma-kamit bercakap entah apa butirannya…bermakna peristiwa lepas akan berulang lagi. Pak Akop faham tentang hukum , cuma  sesekali tertanya dalam hati tiadakah sedekah untuk orang miskin sepertinya. Pak Akop bukan nak upah.. Cuma berharap sedikit sedekah untuk orang yang miskin bukan untuk orang melapah.. Apa nak buat daging tidak boleh pada orang yang melapah..Pak Akop pasrah..

Pak Akop akur … beginilah saban tahun demi tahun Pak Akop hanya mampu melihat besen daging pergi menghilang entah kemana..bukan hak Pak Akop untuk bersuara..bukan daging Pak Akop untuk di bawa pulang bagi makan anak bini, ..jauh di sudut hati Pak Akop terasa, tiadakah sedekah untuk aku, bukan untuk aku makan untuk Rina anak bongsu ku yang belum mengerti apa-apa. Pak Akop pasrah…semuanya berlalu, ada kedengaran dihujung telinga sayup-sayup kedengaran suara jauh mengucapkan terima kasih tanpa jatuh walau sebesar ibu jari kaki daging korban..

Pak Akop pulang dengan wajah sugul ..hampa . Lijah di dapur sangat memahami perangai Pak Akop, memandang wajahpun Lijah tahu suaminya kecewa macam tahun-tahun lepas, lalu menyapa Pak Akop dengan suara yang perlahan seolah mengerti keluh resah Pak Akop.

 

“macam biasa ke bang? ”,

Lijah menunggu jawapan dari Pak Akop, dengan senyuman yang manis walaupun sedikit hampa. Senyuman Mak Lijah masih menawan walaupun usia sudah menjengah 56 tahun ..Pak Akop agak keberatan menjawap, Lijah berlalu ke dapur dengan reda. Makin lama di tunggu makin gelisah Pak Akop. Lijah tidak mahu menambah luka dan dibiarkan Pak Akop melayan perasaanya sendiri. Pak Akop diam sambil mulut mucung kedepan,  sesekali menghirup kopi yang dihidangkan oleh Lijah bersama dengan biskut tawar kecil. Sekali-sekala biskutnya patah dan masuk ke dalam cawan lalu Pak Akop meminta sudu kopi untuk mengambil biskut lembik  di dalam cawan.

Di dapur Lijah ligat memikirkan masakan apa untuk dihidangkan pada Pak Akop.

“Tak apa lah bang bukan rezeki kita, nanti Jah goreng ikan kering Pelata..kesukaan abang dengan sayur lemak, pucuk lemak manis kesukaaan abang…sesekali Pak Akop tersenyum tawar…hanya Lijah yang setia yang  memahami isi hati Pak Akop…

Di laman rina anak bongsu kesayangan Pak Akop menyedari bapanya pulang  lalu menyapa Pak Akop dengan hati yang girang, tak mengerti hati Pak Akop yang bersedih.

“Ayah balik.. yea ..yea, ayah balik, bila ayah balik?, hari ini dapatlah kita makan daging kan ayah ..hari ni hari raya qurban kan…tentu ayah dapat daging…”

Tercekik liur Pak Akop mendengar kata-kata Rina , gadis kecil yang tidak memahami apa-apa. Tiada daging yang dibawa pulang untuk rina ,untuk  Aiman anak bongsu lelaki. Sayu Pak Akop mendengar kata-kata Rina. Kepala Pak Akop ligat memikirkan alasan apa yang perlu di beri..namun di biarkan Rina dan Aiman bermain di laman..

Ya Allah.. apakah dugaan ini ..malu aku pada diri  Ya  Allah , apa yang perlu aku beritahu pada rina ..tiada daging , tiada sedekah aku faham hukum tapi anak ….

Di dapur Lijah mengoreng  ikan kering pelata dengan sayur pucuk manis campur ubi keledek ..jauh baunya . Bau yang biasa Pak Akop hidu..menunggu dapur kayu yang perlahan menyala..perut terasa lapar dengan hati yang hampa . Sesekali Pak Akop mendongak kelangit, cahaya matahari sudah condong ke barat. Pak Akop mengajak Rina dan Aiman makan bersama sebab jarum  jam sudah menunjuk  pukul 2.30 petang…

“Mana daging goreng ayah ? ,kan ayah pergi sembelih lembu..”

Di usap-usap kepala anak kesayanganya.. tanpa sepatah kata Pak Akop memaling muka kebelakang rina ..bersama linangan air mata berkaca  dikelopak mata…sesekali bersuara antara dengar atau tidak .Ya Allah ..aku tak mampu ya Allah. Kesihan budak ini yang tak mengerti apa-apa ya Allah..mau di tinggalkan hidangan ikan pelata bersama sayur pucuk manis. Mak Lijah mengerti apa yang Pak Akop sembunyikan , lalu memalingkan muka kedapur..sesekali menitis air mata lijah..tapi

 

Assalamualaikum …..Pak Akop..Pak Akop “..nah ayah bagi daging korban sikit ni”…ucap Seli dari kampung sebelah, membuatkan Pak Akop tersentak, lamunan terhenti lalu di kesat air mata yang hampir menitis dengan tersenyum tawar…tapi riang dihati  bukan kepalang…Pak Akop mengucap terima kasih entah berapa kali, Seli berlalu dengan sedikit persoalan ,namun tidak diendahkan perasaan Pak Akop. Pak Akop menghantar Seli pulang sehingga hujung mata dengan seribu pertanyaan. Ya Allah aku bersyukur pada mu ya  Allah atas nikmat ini. Seli menghilang  tanpa mengerti hati Pak Akop yang menangis tanda syukur…setelah Seli pulang Lijah cepat-cepat mencapai daging di atas tangga lalu di goreng untuk Rina dan Aiman..Pak Akop memejam mata menghidu bau daging korban yang di goreng Lijah dengan minyak masak kelapa yang di tanak sendiri oleh Lijah..ya Allah besar sungguh nikmat dan kuasa mu Ya Allah ,terima kasih atas nikmat ini…terima kasih ya Allah kerana memahami. Rina dan Aiman makan dengan penuh nikmat sambil bergurau senda dan hilai ketawa , tak dihirau ayahnya yang sedang bersedih, biarlah Rina dan Aiman menikmati daging qurban, biarlah dia habiskan semuanya, Pak Akop reda kerana itu takdirnya. Pak Akop tertanya-tanya dalam hati , daging korban dari orang kampung sebelah, dimanakah daging sedekah Penghulu Seman dan orang-orang yang melakukan ibadah qurban, saban hari berganti tahun sedekah daging qurban dari Penghulu Seman tidak pernah kesampaian kerana Pak Akop tukang lapah daging.  Adakah tahun depan akan berulang lagi , pertanyaan ini  sentiasa terbuku di hati Pak Akop. Pak Akop pasrah jika ini takdirnya.

                                                                                -Sekian-

No comments:

Post a Comment

html